Mitos Rahim Terbalik Dan Tips Penjagaan Rahim

Loading...

Loading...

Ramai wanita hari ini masih percaya kedudukan rahim terbalik (retroverted uterus) menjadi punca seseorang itu sukar hamil. Pendapat itu berkemungkinan besar timbul berikutan ramai wanita pernah menjalani pembedahan bagi ‘membetulkan’ posisi rahim supaya kembali normal sebelum ini.

Sebenarnya, posisi rahim terbalik ke belakang secara semula jadi ialah variasi rahim normal. Mengikut kajian, antara lima hingga kira-kira 10 peratus daripada wanita di dunia ini memang dilahirkan dengan keadaan rahim terbalik. Ini bermakna, rahim yang sepatutnya di depan berada pada kedudukan di belakang.

Pakar Kesuburan, Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) Pusat Perubatan Tropicana Dr Nurhazinat Mohamed Yunus berkata, kelainan pada kedudukan rahim itu boleh disamakan dengan variasi sesetengah orang yang memiliki kecenderungan menulis menggunakan tangan kanan atau lebih selesa kidal (tangan kiri).

“Ia sepatutnya tidak langsung menjejaskan peluang untuk hamil kerana hanya membabitkan perbezaan anatomi. Kecuali jika kedudukan rahim terbalik disebabkan penyakit, radang rahim, endometriosis dan jangkitan pada bahagian peranakan. Apabila ini berlaku, akan ada lekatan dan sel parut yang akhirnya menyebabkan rahim duduk ke belakang atau rahim terbalik. Kejadian sebegini selalunya dikaitkan dengan masalah sukar hamil,” katanya.

Jelas Dr Nurhazinat, pemeriksaan ultrabunyi perlu dijalankan terhadap wanita yang mempunyai tanda pendarahan, senggugut kronik, kerap keguguran dan sukar hamil untuk mengenal pasti kedudukan rahim mereka. Sekiranya sah rahim terbalik, doktor biasanya menyiasat punca ia terbalik.

“Endometriosis ialah lapisan dalaman rahim yang dikenali sebagai endometrium. Ia tumbuh di luar rahim seperti di kawasan ovari, pundi kencing, usus dan pelvis. Selaput endometrium yang tumbuh di luar rahim juga dipanggil implan. Memandangkan implan ini terbentuk di luar rahim, ia mengalami kesukaran keluar dari badan sewaktu haid dan menyebabkan kesakitan.

“Lama-kelamaan, darah berkumpul dan membentuk sista serta menyebabkan perlekatan yang menyukarkan kehamilan. Dalam kebanyakan kes, darah yang keluar dari implan juga akan menyebabkan radang. Ini sekali gus menghasilkan tisu parut yang kemudian turut menjejaskan fungsi kilang telur, tiub fallopio dan fungsi rahim itu sendiri.

Loading...

“Berbeza dengan wanita yang memiliki rahim terbalik secara semula jadi. Mereka bukan saja tidak menghadapi masalah untuk mengandung, malah mempunyai kemampuan melahirkan anak, sama dengan wanita lain,” katanya.

Menerangkan beberapa jenis rahim yang kerap dikaitkan dengan masalah untuk mendapatkan anak, Dr Nurhazinat berkata, ada tiga keadaan yang biasa ditemui dalam kalangan wanita kini.

“Masalah rahim yang mungkin menjejaskan peluang wanita untuk mendapatkan anak ialah fibroid, polip (lebihan daging) dan hiperplasia endometrium. Fibroid dan polip memang diketahui mengganggu rahim dengan saiz dan kedudukannya.

“Sementara hiperplasia endometrium pula berlaku apabila lapisan dinding rahim tumbuh terlalu aktif. Wanita yang mempunyai sindrom ovarium polisistik atau PCOS mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat endometrial hyperplasia,” katanya.

Selalunya, wanita yang mengalami rahim terbalik secara semula jadi tidak mengalami sebarang masalah atau menunjukkan sebarang tanda.

“Mereka sama seperti orang lain. Mungkin segelintir daripadanya ada yang mengadu sakit ketika haid umpama hendak membuang air besar atau lebih kepada sakit belakang kerana kedudukan rahim itu sendiri. Kalau rahim biasa, senggugut terasa di bahagian depan. Selebihnya, mereka tidak mempunyai masalah.

“Jika sakit ketika datang haid itu terlalu teruk sehingga terpaksa mengambil suntikan, tidak boleh melakukan aktiviti normal dan kerap cuti sakit akibat senggugut, mereka mungkin menghadapi masalah endometriosis, fibroid, polip atau jangkitan di peranakan. Ini kerana, senggugut biasa akan pulih hanya dengan pil tahan sakit.

“Mengambil kira tempoh sakit ketika haid, senggugut normal biasanya hilang pada hari ketiga. Kalau berlanjutan sampai hari keempat dan seterusnya, mereka mungkin ada masalah lain. Pesakit perlu menjalani ujian ultrabunyi untuk kita melihat keadaan sebenar rahim,” katanya.

Loading...

Tambah Dr Nurhazinat, rahim terbalik secara semula jadi tidak perlu dibedah untuk membetulkan kedudukan selagi tidak menunjukkan masalah. Namun jika terbalik disebabkan penyakit, doktor akan menimbang kaedah rawatan bersesuaian seperti laparoskopi, laser, pemberian ubat hormon dan antibiotik.

“Bagi kes yang sukar dikawal dengan ubat-ubatan, kami akan mencadangkan mereka melalui proses rawatan pembedahan atau laparoscopic adhesiolysis. Lekatan akan dibuka dengan laser, sel endometriosis akan dimatikan dan bahagian pelvik bermasalah akan diperbetulkan atau dibaiki.

“Selepas menjalani prosedur dan radang diubati, peluang untuk hamil akan lebih tinggi. Dengan fungsi tiub fallopio yang sempurna, wanita boleh mencuba untuk hamil dalam tempoh enam bulan hingga setahun,” katanya.

Jenis rahim ini mungkin kedengaran mustahil. Bagaimanapun, Dr Nurhazinat berkata, ia bukanlah kelainan baru, tetapi ditemui dalam anggaraan kurang satu peratus daripada wanita.

“Rahim sebegini mungkin ada septum atau dinding yang membahagi dua ruangan. Sebab itu mudahnya disebut sebagai rahim terbelah. Selain itu, ada juga wanita yang memiliki dua peranakan.

“Mereka yang menghadapi masalah ini berkemungkinan masih boleh mengandung, tetapi susah untuk menyimpan kandungan dalam tempoh lama dan kerap keguguran. Dalam keadaan ini, doktor selalunya melakukan pemeriksaan lanjut bagi menyiasat sama ada wanita terbabit mempunyai masalah rahim atau risiko berkaitan.

“Jika keguguran yang kerap disebabkan wujudnya septum, pesakit akan dinasihatkan menjalani pembedahan membuka septum untuk memberi lebih ruang kepada tumbesaran bayi dalam rahim. Prosedur ini juga berupaya meningkatkan peluang kehamilan dan kandungan cukup bulan,” katanya.

Menurut Dr Nurhazinat, kewujudan septum selalunya tidak membawa sebarang tanda khusus. Malah wanita berkenaan mungkin mempunyai kitaran haid yang normal dan tidak mempunyai masalah senggugut. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut perlu dibuat sekiranya kandungan sukar bertahan lama.

Loading...

“Rahim tidak normal tidak berkait dengan isu genetik. Ia berlaku kepada kurang satu peratus wanita ini secara rawak. Ramai pakar percaya kemungkinan ini berlaku ketika proses pembentukan organ pembiakan wanita sejak dalam kandungan,” katanya.

1. Usah abaikan saringan Pap smear

Wanita yang aktif secara seksual digalakkan menjalani ujian saringan setiap tahun selama dua tahun. Sekiranya normal, lakukan ujian setiap tiga tahun sehingga usia mencecah 70 tahun.

Bagaimanapun, wanita yang mempunyai sejarah keluarga mengalami kanser bahagian peranakan, pendarahan tidak normal, kitaran haid bercelaru dinasihatkan untuk datang ke klinik untuk pemeriksaan, pada bila-bila masa ia berlaku.

2. Jalani gaya hidup sihat

Jauhi tabiat merokok dan amalkan gaya hidup aktif dan sihat. Ini akan mempengaruhi berat badan dan keseimbangan hormon.

3. Kekalkan berat badan ideal

Apabila berat badan bertambah, wanita akan mempunyai lebih estrogen. Secara tidak langsung, wanita lebih berisiko mendapat penyakit yang berkait dengan hormon seperti fibroid.

Loading...

4. Kekal aktif dengan sukan

Apabila wanita menjalani gaya hidup aktif, mereka akan lebih sihat. Sel normal dalam tubuh wanita juga akan lebih susah berubah.

5. Disiplin diri menjalani pemeriksaan berkala

Apabila seseorang wanita itu mencapai usia 40 tahun, mereka harus menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali untuk memastikan dirinya bebas daripada masalah ketumbuhan atau kanser.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber : HarianMetro

Loading...
Loading...

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*